Mungkin masih tersisa bau udara Hollywood di hidung Neelofa, malah pasti telinganya masih terngiang tunjuk ajar serta ilmu dunia lakonan yang dituntutnya sepanjang lebih sebulan berada di Los Angeles, Amerika Syarikat, selebriti ini khabarnya masih lagi jet-lagged.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Nor, 25, yang baru beberapa hari tiba di tanahair tercinta itu kembali dihimpit jadual ketat sang selebriti. Antara yang didahulukannya adalah bertemu pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat untuk menyempurnakan busana istimewa menjelang malam gemilang Anugerah MeleTOP.
“Sebelum terbang pulang ke Kuala Lumpur, Lofa sempat singgah kedowntown di Los Angeles mencari material untuk helaian istimewa pada malam anugerah nanti.
“Sampai disini terus jumpa pereka fesyen dan Lofa akan menyarungkan 3 rekaan pada malam Sabtu ini iaitu dua daripada Hatta Dolmat Couture dan satu dari Wanpa untuk segmen pembukaan.
“Mujurlah masih ada masa untuk berehat dan memberikan fokus serta tumpuan kepada tugas untuk Anugerah MeleTOP pada hujung minggu ini. Diharapkan semua akan berjalan dengan lancar,” ucapnya ketika dihubungi malam tadi.
Kepulangan Neelofa ke tanahair bukan sahaja kerana selesai mengikuti kursus pendek seni lakonan di Los Angeles tetapi komitmennya sebagai pengacara MeleTOP, rancangan gosip paling hangat masa kini menuntutnya bersama-sama Dato` AC Mizal dan Nabil Ahmad mengacarakan acara yang julung kali dilangsungkan iaitu Anugerah MeleTOP.
Tetapi ironinya, dek kerana status Neelofa sebagai pengacara MeleTOP, namanya seakan tercicir daripada senarai calon setiap kategori yang dipertandingkan pada malam anugerah yang akan berlangsung Sabtu ini.
Namun begitu Neelofa merasakan dia seharusnya patut dikecualikan dari tercalon kerana bimbang akan menimbulkan persepsi negatif umum selain menghormati acara yang bakal dikendalinya itu.
“Sebenarnya bila tercalon pada peringkat awal dalam satu kategori pun Lofa rasa lebih baik jika tidak Berjaya ke top 5, sebab kalau menang pun pahat akan berbunyi apabila berakhir anugerah nanti. Biarlah peranan Lofa sebagai hos di siaran mingguan diutamakan sekaligus meletakkan diri Lofa sebahagian daripada team MeleTop yang menganjurkan anugerah ini.
“Lofa sendiri pun merasakan bahawa acara ini dianjurkan untuk meraikan dan menghargai para selebriti tempatan kita. Oleh itu sebagai hos, Lofa tidak kisah jika tidak dicalonkan kerana anugerah ini diadili secara santai melalui undian dibuat berdasarkan populariti.
“Yang mahu diburu serta target utama Lofa pada malam itu adalah untuk mengendalikan majlis dan menjayakan penganjuran Anugerah MeleTop yang pertama kali diadakan,” jawab Lofa tentang pencalonan yang tidak menyenarai aktres ini dalam kategori yang jelas layak ditandinginya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment