Manchester: Seorang pelajar Jade Lomas-Anderson dibaham lima anjing hingga mati semalam selepas dia berjalan masuk ke dalam bilik sambil memakan pai daging.
Seekor haiwan berkenaan menerkam makanan itu dan ketika Jade, 14, cuba merampasnya semula anjing berkenaan menerkam lehernya hingga dia jatuh ke lantai. Empat lagi haiwan berkenaan kemudian datang dan menyerang remaja itu.
Polis yang bergegas ke kediaman itu terpaksa menembak mati empat anjing itu yang dikatakan daripada spesies kacukan anjing pit bull Staffordshire kerana terlalu ganas.
Haiwan kelima dipercayai juga jenis pit bull berjaya ditenteramkan.
Rakan Jade yang terkejut memberitahu dia dibaham di kediaman temannya, Kimberley Concannon di Atherton, Manchester tengah hari semalam selepas bermalam di rumah itu.
Seorang rakan berkata: “Jade pergi ke kedai untuk membeli pai daging dan membawanya ke kediaman Kimberley. Kami dengar anjing itu menyerangnya ketika dia makan pai itu. Dia cuba mengelak tetapi anjing berkenaan berang dan menerkam lehernya.
“Dia tewas diserang haiwan itu di dalam rumah Kimberley.“Ketika polis tiba, empat anjing berkenaan berada di luar rumah.
“Jade berada di dapur. Kami dengar bunyi tembakan. Kami percaya anjing terbesar ditembak sembilan das sebelum ia mati.” Thomas Jefferies, 18, berkata: “Sepupu saya kata, dia dengar bunyi tembakan dan jeritan.” Seorang lagi rakan berkata: “Anjing itu memang menakutkan. Tetapi Jade kenal dengan haiwan itu. Saya tidak faham mengapa haiwan itu menyerangnya. “Mungkin ia terbau darah selepas anjing pertama menyerang Jade. Ia satu tragedi. Jade benar-benar gadis yang baik.
” Seorang penduduk berkata: “Anjing itu selalu menyalak dalam rumah kecil itu. Semua kanak-kanak di sini takut dengan anjing itu.” Oliver Carrick, 15, berkata: “Ia betul-betul anjing yang jahat - ia tidak pernah dibiarkan di taman dan tiada siapa pun masuk ke situ.” Anjing berkenaan milik ibu Kimberley, Beverley. Kedua-dua beranak itu berada dalam kediaman terbabit ketika kejadian. - Agensi
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment