Lisa cuba semua watak

[x]

Lisa cuba semua watak

on Wednesday 25 September 2013

“Saya tak terfikir pun untuk bergiat serius sebagai pelakon komedi.” Demikian kata pelakon jelita, Lisa Surihani ketika berkongsi pendiriannya berhubung perkara itu.

Hanya kerana Lisa memenangi trofi Pelakon Komedi Wanita Terbaik pada Anugerah Lawak Warna menerusi filem Istanbul Aku Datang bulan lalu, ia bukan pasport untuk dia menjadi pelakon komedi selepas ini.

Katanya, seorang pelakon yang baik perlu mencuba pelbagai watak dan genre untuk menjadi anak seni versatil.

“Kebetulan saja diberi pengiktirafan atas kerja saya dalam filem itu. Tapi, saya akan mencuba apa saja watak dan genre yang bersesuaian tanpa peng­khususan tertentu.

LISA teruja berlakon julung kali di samping Johan Raja Lawak sebagai pelakon undangan siri Elly & Epit, baru-baru ini.

“Tidak terlintas pula untuk jadi pelakon komedi kerana kalau lihat di luar, ramai pelakon wanita berlakon karya komedi, tetapi mereka bukan pelakon komedi atau pelawak pun,” katanya yang menjadi pelakon undangan sitkom Elly & Epit musim kedua, baru-baru ini.

Mengulas persoalan itu, katanya, sebarang bentuk tawaran dipertimbang­kan mengikut kesesuaian masa, bayaran dan kekuatan naskhah itu sendiri.

“Saya tidak pernah menetapkan genre cerita sebelum menerima tawaran. Tidak kira komedi, serius atau apa saja, saya akan buat jika bersesuaian.

“Dalam mempertim­bangkan sesuatu tawaran, saya lihat tiga elemen iaitu cerita, masa dan bayaran yang bersesuaian. Jika semua okey, saya tiada masalah untuk buat,” kata pelakon berusia 27 tahun ini.

Berkongsi perkembangan semasa, Lisa berkata, dia turut aktif mempromosikan kempen Go Beyond Positive Engine bertujuan menerapkan nilai positif dalam kalangan masyarakat menerusi media sosial.

“Kalau pada tahun lalu kita cuba suntik kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kempen ini, tahun ini saya membantu menyebarkan lagi unsur positif kepada khalayak menerusi kenyataan atau petikan positif di media sosial,” katanya.

Diusik pula mengenai kehidupan rumah tangga, isteri pengarah filem Yusry Abdul Halim ini berkata, semuanya berjalan dengan baik dan harmoni.

“Saya dan Yusry akan mengacarakan sebuah program berkaitan tip bercuti dan mengembara. Pengalaman kami menguruskan percutian bulan madu lalu akan kami kongsi dengan penonton.

“Ketika ini, saya belum boleh dedahkan judul atau butiran terperinci program itu sebab ada beberapa perkara masih dalam perbincangan,” katanya yang terus berharap dikurniakan zuriat.

Terbaru, Lisa kini terbabit dengan penggambaran supertelefilem Suamiku, Encik Perfect 10! arahan Feroz Kader di samping Aaron Aziz dan Raja Ilya.

Selepas itu, Lisa berkata, dia bakal terbang bercuti ke London dan Florida, Amerika Syarikat bersama suami dan keluarga.

Filem terbaru lakonannya, Ular dijangka menjengah pawagam pada Disember depan, manakala Dendam Orang Mati dan Manisnya Cinta di Cappadocia akan menyusul tahun depan.
sumber : http://www.hmetro.com.my/



Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved