Enggan beli durian, lelaki dilibas parang

[x]

Enggan beli durian, lelaki dilibas parang

on Monday 30 September 2013



BESUT - Seorang lelaki nyaris maut apabila dilibas dengan parang panjang oleh jiran sekampungnya, dipercayai berpunca daripada urus niaga buah durian di Kampung Kuala Kubang dekat Jabi, di sini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, 52 tahun tidak mengalami kecederaan kerana sempat mengelak.

Ketua Polis Daerah Besut, Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di sebuah kedai makan di kampung berkenaan, sebelum suspek berusia 41 tahun tiba.

Menurutnya, difahamkan sebaik suspek masuk ke dalam kedai, dia terus melibas parang panjang ke arah mangsa sebanyak dua kali, namun mangsa dapat menangkis serangan itu menggunakan kerusi plastik.

“Mangsa kemudiannya keluar dan membuat laporan di Balai Polis Jertih untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kamaruddin berkata, polis seterusnya menahan suspek yang dikenali mangsa, selain merampas sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang enggan membeli buah duriannya hingga berlakunya pertikaman lidah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.
sumber : Sinar Harian
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved