Engkar Arahan Bapa, Gadis Maut, Teman Lelaki Kritikal

[x]

Engkar Arahan Bapa, Gadis Maut, Teman Lelaki Kritikal

on Tuesday 24 June 2014


BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita maut manakala rakan lelakinya cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 8.6 Lebuhraya Butterworth Kulim Expressway (BKE) semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu, Nor Farizah Suhaimy, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala Saiful Helmi Zulkiflee, 22, kritikal selepas dilanggar sebuah kereta Mercedes dari belakang.

Difahamkan, motosikal Honda EX5 yang ditunggang Saiful Helmi tidak melalui lorong khas yang disediakan sebaliknya menggunakan lorong kiri lebuh raya sebelum kedua-duanya tercampak di tepi jalan selepas dilanggar seorang lelaki.

Pelanggaran terbabit menyebabkan motosikal mangsa terperosok di bahagian depan kereta dan pemandu, Tan Jian Hong, 26, meneruskan pemanduan selepas beberapa ahli kumpulan motosikal yang menunggang bersama mangsa bertindak untuk menyerangnya.

Jian Hong kemudiannya memandu sehingga simpang Kampung Tok Elong sebelum keretanya terbabas ke dalam longkang di Jalan Tengah, Perkampungan Berapit.

Ahli kumpulan motosikal terbabit kemudiannya bertindak membaling batu dan memecahkan cermin kereta terbabit kerana menyangka pemandu cuba melarikan diri.

Jian Hong yang mengalami kecederaan di bahagian kepala kemudiannya dibawa orang awam ke Hospital Island, Georgetown untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

Saiful Helmi dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) manakala mayat Nor Farizah turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Sementara itu, Suhaimy Yakin, 40, yang merupakan bapa Nor Farizah berkata, anaknya meminta izin untuk keluar kira-kira jam 9 malam namun tidak dibenarkan.

“Arwah tetap keluar apabila dijemput rakannya dan saya hanya tahu mengenai kemalangan yang menimpanya kira-kira jam 5 pagi.

“Saya sekeluarga reda dengan kejadian yang menimpanya dan berharap orang ramai memadamkan dan tidak menyebarkan gambar kemalangan tersebut,” katanya. 
sumber:– Sinar Harian
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved