Sebenarnya, Cik Pang langsung tidak terkejut apabila berita dikhabarkan ke telinga mengenai penerbit berpangkat Datuk mengeluh apabila produksi drama dihasilkan terlebih bajet dan mengalami kerugian gara-gara orang kanannya yang juga pelakon mula ‘main duit’.
Dalam kalangan orang industri sebenarnya cukup kenal sikap buruk pelakon ini kerana dia pernah menjadi orang penting satu produksi yang hebat menghasilkan drama sebelum ini.
Bagaimanapun, tembelangnya pecah apabila penerbit produksi itu menyedari dia ditipu kerana perbelanjaan selalu meningkat berbanding apa yang diperuntukkan hingga mencecah puluhan ribu.
Apabila akaun dikira, penerbit itu mendapati duit banyak dibelanjakan kepada perkara tidak perlu dan berasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Menyedari perkara itu, dia disingkirkan. Perkara itu berlaku lama dulu, tapi tidak sangka pula ia berulang.
Cik Pang percaya Datuk terbabit mengambilnya bekerja kerana berasakan dia ada pengalaman menguruskan perjalanan produksi drama dihasilkan.
Perkara itu memang tidak dinafikan dan boleh kita lihat menerusi perjalanan awal operasi produksi milik Datuk itu dijalankan.
Memang pelakon ini menjalankan tugasnya dengan cemerlang dan ramai memuji apabila dia menangani pelbagai masalah timbul.
Maklumlah, orang berpengalaman dan Datuk itu rasa bertuah kerana ada pekerja begitu dalam produksinya. Bagaimanapun, rasa bangga Datuk itu tidak bertahan lama apabila setiap kali mendapat laporan kewangan produksi dihasilkan tidak cukup dan tiada keuntungan dicatatkan.
Bagi penerbit, situasi itu satu masalah besar dan takut jika dibiarkan berlanjutan silap hari bulan boleh diisytihar muflis. Simpang malaikat 44.
Nasihat Cik Pang sebelum terlambat, lebih baik Datuk itu memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
Jika khidmatnya masih diperlukan, ambillah dia sebagai pelakon saja sebab sepanjang pembabitannya sebagai pelakon tidak ada satu pun masalah timbul yang Cik Pang dengar.
Seperkara lagi, Cik Pang tahu sangat pelakon ini bukan saja kacak tetapi bermulut manis, membuatkan perempuan mudah jatuh hati.
Kadangkala kalau ada masalah pun dia mudah melepaskan diri tanpa ada tindakan diambil terhadapnya.
sumber: kezoom
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment