Kenapa Orang Melayu Tak Minat Tonton Filem Melayu?

[x]

Kenapa Orang Melayu Tak Minat Tonton Filem Melayu?

on Monday 30 December 2013


“Lihatlah Dunia, Aku Anak Wayang!” – Itu teriakan keramat yang dilontarkan Allahyarham Seniwati Azean Irdawaty tatkala memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem ‘Esok Masih Ada’ di Festival Filem Malaysia 1980.

Tidak cukup dengan itu, Azean turut merangkul gelaran tersebut menerusi filem ‘Langit Petang’ pada tahun 1982. Betapa hebatnya seorang pelakon layar perak bernama Azean Irdawaty. Tidak dilupakan, hebatnya filem-filem Melayu ketika itu sehinggakan Azean tidak malu-malu mengaku dirinya, adalah, anak wayang!

Filem Melayu, dua perkataan ini mampu mencetuskan pelbagai dimensi perbincangan. Lihatlah dari tepi, kiri, kanan, depan atau belakang, perbincangan dan kritikan terhadap filem Melayu tidak akan sama dari satu mulut ke mulut yang lain.

Semua orang mahu bercakap tentang filem Melayu. Saya pasti David Teoh juga pasti ada pandangannya yang tersendiri. Semua maklum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Metrowealth International Group (MIG) ini sangat aktif menerbitkan filem-filem Melayu.

Beliau tidak malu untuk menerbitkan filem Melayu. Beliau sudah mengumpul jutaan Ringgit daripada filem terbitannya. Apa yang hendak dimalukan? Apa yang saya ingin bincangkan di sini adalah tentang ragam penonton Melayu pula yang tak mahu dan malu untuk menonton filem Melayu. Di mana silapnya?

Saya terimbau satu peristiwa di TGV 1Utama tidak begitu lama dahulu. Saya yang ketika itu dalam mood teruja hendak menonton filem ‘Istanbul Aku Datang’ agak terbantut keterujaannya apabila terdengar perbualan sepasang kekasih di hadapan saya.

Sang gadis hendak menonton filem berkenaan tetapi sang jejaka dengan lantangnya berkata “Filem apa ni macam bodoh aje. Tak payah la kita tengok filem lain. Filem Melayu ni tak habis-habis pusing cerita sama aje”. Begitulah lebih kurang ayatnya. Saya yang di belakang, hanya mampu tersenyum dalam hati. Saya faham dan tidak menyalahkannya. Saya sendiri pernah keluar panggung selepas lima minit satu filem Melayu ini memulakan tayangan.

Filem apa? Ah perlukah saya nyatakan di sini? Yang nyatanya, saya kesal. Bukan kerana RM13 yang saya laburkan itu tidak berbaloi tetapi begitu rendahnya mutu dan kualiti filem Melayu itu sehinggakan saya, orang Melayu yang faham bahasa Melayu pun tidak mampu memaksa diri untuk terus duduk dan sekurang-kurangnya menghormati hasil kerja penerbitan filem itu.

Saya akui, selera penonton, terutama selera terhadap filem adalah sesuatu yang sukar untuk dijangka. Oh ya, sebelum saya terlupa, saya akui yang saya telah menonton filem ‘Istanbul Aku Datang’ sebanyak tiga kali selepas hari itu! Bagi saya ia adalah filem Melayu yang berjaya. Tetapi itu saya, dan itu pandangan peribadi saya. Orang lain, saya tidak tahu. Ini membawa kepada pusat perbincangan saya:

Apa lagi yang kita perlu buat untuk menarik lebih ramai penonton Melayu untuk datang menonton? Dan jika kita berjaya menarik penonton ke pawagam, adakah itu boleh dianggap sebagai satu ukuran kejayaan filem Melayu?

Apakah pula definisi kejayaan apabila kita bercakap tentang ‘Kejayaan filem Melayu?’. Adakah ia dinilai dari segi kutipan? Ataupun kualiti skrip, pelakon, teknikal ataupun muzik? Adakah filem ‘KL Gangster’ terbitan Skop Production Sdn. Bhd. yang mencatat kutipan sebanyak RM11.74 juta boleh dianggap sebagai filem Melayu yang berjaya? Ataupun adakah kejayaan filem ‘Bunohan’ yang dinobatkan sebagai filem terbaik di Festival Filem Malaysia Ke 25 (FFM25) boleh diambil kira sebagai sebuah filem Melayu yang berjaya?

Jangan dilupakan ‘Bunohan’ turut memenangi 4 kategori lain iaitu Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik. Adakah ini satu contoh filem Melayu yang berjaya? Jika ya, mengapa ia hanya berjaya mengutip RM720,000 sepanjang tayangannya? Jikalau begitu, layaklah ‘KL Gangster’ dianggap filem Melayu yang berjaya kerana kutipan tiket amat bagus dan pengarahnya, Syamsul Yusof menang besar dengan membawa pulang lima trofi termasuk Filem Terhebat Anugerah Blockbuster.

Yang jelas, setakat ini belum ada kajian akademik yang dijalankan di Malaysia untuk memahami kenapa dan mengapa orang Melayu tidak mahu menonton filem Melayu. Izinkan saya menyenaraikan sebab-sebab berkenaan. Ya saya layak. Mengapa? Kerana saya orang Melayu yang selalu menonton filem Melayu, tidak kisah ia bagus ataupun tidak.

1) Kurangnya nilai identiti budaya masyarakat Melayu, memperjelaskan apa yang kurang dan memperkukuhkan kembali yang lemah.

2) Tiada kebaikan yang boleh dibawa pulang oleh penonton. Semuanya adalah sekadar hiburan yang tidak mampu diturunkan sebagai panduan kepada anak cucu mereka (sila imbau kembali betapa relevannya filem-filem arahan Allahyarham Seniman Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee sehingga ke hari ini)

3) Ketiadaan repetitive intention di kalangan penonton. Berapa kerat filem Melayu terkini yang kita mahu tonton berulang kali?

4) Pembawaan isu bernoktah. Apakah penyelesaian yang kita boleh harapkan daripada isu yang diutarakan dalam filem berkenaan? Kebanyakkannya tiada.

5) Kuantiti melebihi kualiti. Lambakan filem Melayu yang tiada kualiti menyebabkan persepsi negatif mula menakluki pemikiran penonton Melayu. Akibatnya, filem berkualiti seperti KIL menjadi mangsa.

6) Masa tayangan yang tidak sesuai. Contoh terbaik adalah masa tayangan filem ‘Lemak Kampung Santan’ yang diberikan slot tayangan di pawagam pada pukul 7.15 malam. Ini tidak bersesuaian dengan masyarakat Melayu beragama Islam.

Bagi saya, tiada jalan mudah untuk menarik penonton Melayu kembali ke panggung untuk menyokong filem Melayu. Dengan segala macam faktor sosio-budaya serta ekonomi yang mencengkam kehendak dan keperluan masyarakat, golongan pembuat filem Melayu hanya ada satu pilihan, iaitu memastikan:

Jenakanya harus berketawa, seramnya harus menakutkan dan pengembaraannya harus ke hadapan.

Mana tahu, suatu hari nanti, penonton filem Melayu akan mampu duduk lebih daripada lima minit dalam panggung.
sumber: http://www.gua.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved