SOROTAN 2013: Bahagia & Kecewa, Itulah Pilihan Mereka

[x]

SOROTAN 2013: Bahagia & Kecewa, Itulah Pilihan Mereka

on Tuesday 31 December 2013

Peristiwa indah majlis pernikahan pada 2013 berlangsung dengan meriah dan ada juga penuh kontroversi termasuklah perkahwinan Zain Saidin dan Rozita Che Wan yang mendapat tajaan RM13 juta menjadi penutup kalender tahun ini.

Namun di sebalik kita meraikan majlis perkahwinan para selebriti kita, dunia artis juga tidak lari dari kontroversi akibat perceraian dan krisis rumah tangga.

Mari kita imbas peristiwa manis perkahwinan dan juga detik sedih apabila dua hati yang dahulunya mengikat janji berpisah jua akhirnya.
Jeslina dan Dion ketika hadir ke mahkamah untuk urusan penceraian mereka.

Artis : Jeslina Hashim & Dion Andrew Vercoe.
Tarikh Bercerai : 5 Mac 2013.

Jeslina Hashim, 36, sah bercerai talak satu dengan Dion Andrew Vercoe, 40, pada 5 Mac 2013 di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur.

Jeslina yang pernah popular menerusi lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia telah bersetuju untuk menerima nafkah sebanyak RM8,333 selama 18 bulan dan RM5,000 sebagai wang edah.

Pasangan itu juga bersetuju dengan perjanjian penyelesaian berkaitan hak penjagaan anak, mutaah dan hadanah tanpa sebarang pertikaian.

Jeslina dan Dion telah berkahwin pada 21 April 2005 dan mempunyai dua orang anak berusia tiga dan enam tahun.
Permohonan penceraian A.Aida tertangguh kerana tidak mendapat kerjasama daripada bekas suaminya.

Artis : A. Aida & Suffian Sulaiman.
Tarikh Bercerai : 2 Mei 2013.

Konflik rumah tangga pelakon dan penerbit, A. Aida dan suaminya Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman akhirnya selesai apabila pasangan itu sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada 2 Mei lalu.

Proses penceraian pasangan itu sebelum ini tertangguh selama beberapa bulan apabila Suffian selaku defendan membuat beberapa tuntutan terhadap plaintif sebelum bersetuju untuk bercerai secara baik.

A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 42, berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007.
Noniswara bercerai secara taklik.

Artis : Noniswara & Datuk Rosman Ridzwan.
Tarikh Bercerai : 18 Julai 2013.

Selepas digantung tidak bertali dramatis Noniswara Baharuddin, 44, sah bercerai secara taklik dengan suaminya, Datuk Rosman Ridzwan selepas membayar RM10 sebagai syarat dalam lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu.

Mahkamah mensabitkan cerai taklik bukan sahaja berdasarkan bayaran RM10 yang diterima bagi pihak Rosman, malah turut mengambil kira keterangan Noniswara, saksi, hujah peguam dan sumpah iztizhar.

Pasangan tersebut yang bernikah pada 31 Julai 2009 mula berantakan selepas gosip Rosman didakwa menjalinkan hubungan dengan seorang aktres sehingga dia meninggalkan Noniswara tanpa khabar berita.
Selepas dua tahun kes berjalan di mahkamah Rita akhirnya bercerai pada 5 September lalu.

Artis : Rita Rudaini & Adil Zafuan.
Tarikh Bercerai : 5 September 2013.

Rita Rudaini Mokhtar sah bercerai talak satu dengan pasangannya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak di Mahkamah Rendah Syariah Seremban pada 5 September lalu.

Ikatan perkahwinan pasangan itu terlerai selepas mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuat oleh Mohd Aidil, 26, kepada Rita Rudaini, 37, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 4 Ogos 2013.

Pasangan itu bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki menyebabkan perkahwinan tersebut menimbulkan masalah.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun.

Aeril Zafrel & Wawa Zainal nikah dua kali.

Tarikh: 4 Febuari 2013.
Aeril Zafrel menimbulkan kontroversi apabila mendedahkan dia dan aktres Wawa Zainal telah bernikah sebanyak dua kali masing-masing pada 25 Februari 2012 dan 4 Februari 2013 di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya.

Pasangan itu dalam satu sidang media khas telah memohon maaf kerana mengambil langkah menipu peminat dan pihak media mengenai status hubungan mereka yang sebenarnya sudah menjadi suami isteri sejak tahun lalu.

Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhari, berkata, mereka menyesal kerana tidak mendedahkan berita berkenaan lebih awal sehingga rahsia berkenaan bocor dan dilaporkan oleh pihak media.

Hasil perkahwinan itu mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki yang dilahirkan pada 24 Ogos lalu dan diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.

Izzue Islam Kahwin Pengurus.
Tarikh: 2 Jun 2013.

Anggota kumpulan Forteen iaitu Izzue Islam, 23, memilih pengurusnya sendiri iaitu Nurinafilah Waharudin, 31, sebagai isterinya yang sah dalam satu majlis yang diadakan pada 2 Jun lalu di Shah Alam, Selangor.

Pasangan itu telah berkenalan sejak 2008 dan telah bercinta selama enam tahun sebelum memutuskan untuk berumah tangga.

Walaupun mempunyai perbezaan umur sebanyak lapan tahun namun Izzue tidak melihat perkara itu sebagai masalah kerana keserasian dalam perhubungan lebih penting.

Amar Asyraf & Arna Salleh.
Tarikh: 7 Jun 2013.

Aktor drama Setia Hujung Nyawa iaitu Amar Asyraf mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pasangannya, Arna Salleh selepas menyulam cinta selama dua tahun.

Amar atau nama sebenarnya Amar Asyraf Zailuddin, 27, berkata, perkahwinannya tidak akan menjejaskan perjalanan karier lakonannya yang sedang meningkat naik.

Perkahwinan Beego & Linda Hashim.
Tarikh nikah: 8 Jun 2013.

Mula menjalinkan hubungan cinta dua tahun lalu dan mengikat tali pertunangan pada 3 November 2012, pasangan pelakon Beego dan Linda Hashim akhirnya disatukan sebagai suami isteri dalam majlis yang meriah pada 8 Jun 2013 di Kuala Lumpur.

Beego atau nama sebenarnya, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 33, menganggap perkahwinan dengan Linda seperti perkahwinan pertama walaupun pernah mendirikan rumah tangga bersama Intan Shahira Mohd Shahru pada 28 Disember 2007 dan bercerai pada 16 Mac 2009.

Pierre Andre & Nur Hidayah.
Tarikh: 23 Jun 2013.

Dengan sekali lafaz pelakon Pierre Andre, 28, sah bergelar suami kepada Siti Nur Hidayah Hashim, 26, dalam majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Al-Ikhlas Taman Melati Selayang, Kuala Lumpur.

Pasangan itu telah berkenalan selama setahun dan mengambil keputusan untuk segera berkahwin kerana tidak mahu timbul fitnah yang melihat mereka sering bersama.

Perkahwinan kedua Ashraf Muslim.
Tarikh: 7 Julai 2013.

Ashraf Muslim telah berkahwin dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 yang dijadikannya sebagai isteri keduanya di Pattalung, Selatan Thailand yang turut dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak.

Ashraf menafikan perkahwinan kedua itu adalah disebabkan ketiadaan zuriat selepas berkahwin dengan Noor Dayana Lokman, 26, pada 30 Ogos 2011 di Mekah.

Katanya hasrat untuk menikahi Sakinah adalah disebabkan hubungan mereka yang terjalin sejak sekian lama iaitu sebelum dia melangsungkan perkahwinan pertamanya.

Isteri kedua Ashraf ketika ini sedang mengandung.

Cinta tanpa batas usia Raja Azmi & Mohd Eddie Ghazali.
Tarikh: 16 Julai 2013.

Selepas bercerai dengan bekas pemain badminton negara, Jailani Sidek pada 2012, produser kontroversi, Raja Azmi, 54, telah bertemu jodoh dengan gitaris kumpulan CRK iaitu Mohd Eddie Ghazali, 45.

Majlis perkahwinan pasangan itu telah diadakan secara besar-besaran di Laman Sari, Istana Budaya yang turut dihadiri oleh bekas suaminya dan teman-teman rapat bagi meraikan mereka.

Walaupun mempunyai jarak usia dengan Eddie, Raja Azmi berkata, itu bukan halangan untuknya mengecap bahagia dan bertuah mendapat seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab.

Ras Adiba Radzi & Ilias Yaakob.
Tarikh: 28 Julai 2013.

Bekas pengacara popular TV3, Ras Adiba Radzi, 45, selamat diijabkabulkan bersama lelaki pilihan yang juga penasihat kewangan, Ilias Yaakop, 45, bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 28 Julai lalu.

Ras Adiba telah dinikahkan oleh bapanya, Mohd. Radzi Wahab, 73, pasangan berkenaan disatukan dengan tiga kali lafaz selain menerima mas kahwin RM99 dan wang hantaran RM10,000.

Black Mentor & Naquia Yasirah.
Tarikh: 13 September 2013.

Black (Mentor) atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, 26, selamat bergelar suami kepada Naquia Yasirah Binti Mohammad Khairi, 28, atau Chira Khairi di Zebra Square, Kampung Pandan sekitar jam 12.10 tengah hari pada 13 September 2013.

Pasangan ini diijabkabulkan oleh bapa Naquia Yasirah sendiri dengan mas kahwin sebanyak RM80 dan wang hantaran berjumlah RM12 ribu di hadapan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Bandar raya, Kuala Lumpur.

Fouziah Gous & Zhafran Yusof.
Tarikh: 21 September 2013.

Fouziah Gous sah bergelar isteri kepada Md Zhafran Md Yusof, 30, dengan hanya sekali lafaz dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Fouziah menerima wang hantaran sebanyak RM50,000 daripada pihak lelaki dalam majlis pernikahan yang berlangsung berkonsepkan Bollywood.

Cinta dua bulan Adam & Fiza Halim (Elite).
Tarikh: 26 September 2013.

Hanya selepas dua bulan berkenalan penyanyi Adam dan Fiza (Elite) mengejutkan banyak pihak apabila memutuskan untuk berkahwin pada 26 September lalu dalam suasana cukup ringkas di Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Shah Alam.

Menurut Adam, perkahwinan tersebut adalah contoh terbaik kepada kuasa jodoh dan memilih untuk bercinta selepas berkahwin.

Fiza yang kini sudah memakai tudung pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata iaitu Ferra Aryana Ahmed Farriq, 3, dan Feeya Adyrra Ahmed Farriq, 2.

Bersatunya Diana Amir & Mohd Habib.
Tarikh: 25 Oktober 2013.

Pelakon Diana Amir sah bergelar isteri kepada Mohd Habibbullah A Rahman, seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok, Kedah dengan sekali lafaz.

Pasangan itu telah memilih konsep perkahwinan dalam suasana yang cukup sederhana dan Diana hanya menerima mas kahwin sebanyak RM1,000, sebentuk cincin dan senaskhah Al-Quran daripada pihak lelaki.

Pertemuan tidak dirancang Fizo Omar & Mawar Abdul Karim.

Tarikh: 10 November 2013.

Pertemuan tanpa dirancang oleh pasangan pelakon Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim telah menyatukan mereka sebagai suami isteri pada 10 November lalu di kediaman keluarga pengantin perempuan di Kajang, Kuala Lumpur.

Walaupun perkenalan mereka cukup singkat namun Fizo memberitahu mahu bercinta selepas berkahwin dan yakin Mawar adalah pasangan paling tepat untuknya melayari bahtera rumah tangga sehingga akhir hayat.

Paling menarik, Fizo telah memberikan Mawar jongkong emas seberat 1.01 kilogram sebagai hantaran selain barangan hantaran mewah pada hari bahagia mereka.

Wedding of the Year Rozita Che Wan & Zain Saidin.

Tarikh: 11 Disember 2013.

Rozita Che Wan, 40, dan Zain Saidin, 29, selamat diijabkabulkan pada 11 Disember 2013 (atau 11/12/13) di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor dalam sebuah majlis yang penuh mewah dan meriah.

Majlis resepsi pasangan itu juga telah mendapat tajaan bernilai RM13 juta sehingga perkahwinan mereka mendapat jolokan wedding of the Year.

Wan Maimunah temui jodoh pada usia 60 Tahun.

Tarikh: 14 Disember 2013.

Pada usia 60 tahun, pelakon Wan Maimunah telah bertemu jodoh dengan seorang ahli perniagaan iaitu Makpol Saimon dan menariknya mas kahwin yang diterima oleh Wan ialah bimbingan ke jalan yang diredai Allah.

Selain itu Wan Maimunah juga menerima sebentuk cincin dan seutas gelang bagi upacara membatalkan air sembahyang.

Farawahida lebih utamakan suami.

Tarikh: 16 Disember 2013.

Penyanyi Farawahida, 28, berjanji untuk memberi lebih tanggungjawab kepada suami berbanding kerjayanya sebagai penyanyi selain menjaga perlakuan dan tingkah lakunya bersesuaian dengan imejnya sebagai isteri orang.

Farawahida selamat dinikahkan dengan pasangannya Abdul Shukur Mohd Zain, 29, yang merupakan seorang ahli perniagaan yang berasal dari Pulau Pinang.
sumber: http://www.mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved