SOROTAN 2013: Kontroversi Jadi Rencah Dunia Seni

[x]

SOROTAN 2013: Kontroversi Jadi Rencah Dunia Seni

on Sunday, 29 December 2013


Uji Rashid membuka tirai kontroversi 2013

Kontroversi dalam dunia hiburan, satu perkara yang tidak boleh dipisahkan.
Bermula dengan konflik penyingkiran penyanyi Uji Rashid dalam Anugerah Juara Lagu ke 27 (AJL27) bagi menggantikan Yuna menerusi lagu Terukir Di Bintang, 2013 menyaksikan kisah paling tragis mengenai drama ‘anak derhaka’ yang dicetuskan oleh Afiq Muiz.

Malah di hujung-hujung kalender, dunia hiburan dikejutkan dengan pengakuan kahwin oleh Aeril Zafrel dengan Wawa Zainal yang sebelum ini menafikan kisah rumah tangga mereka.
Media juga dilihat ‘buruk’ kononnya melaporkan kisah tidak benar tetapi orang di luar sana tidak tahu apa sebenarnya berlaku.

Mari kita imbas kisah-kisah kontroversi terpilih sepanjang 2013. Mudah-mudahan kalender baharu yang akan membuka tirainya Rabu ini akan membawa cerita-cerita lebih bermakna dalam mengangkat kehidupan dunia artis.

Tersingkirnya Uji Rashid
Awal tahun dimulakan dengan kontroversi pemilihan penyanyi untuk lagu Terukir Di Bintang ketika Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) apabila penyanyi asal, Yuna tidak dapat pulang ke tanah air kerana menyiapkan rakaman album di Amerika Syarikat.

Pada mulanya, Uji Rashid telah dipilih sendiri oleh Yuna untuk menyanyikan lagu tersebut. Namun pada saat-saat akhir, Uji Rashid terpaksa digantikan dengan Aizat oleh pihak TV3.

Uji Rashid tidak diberitahu lebih awal tentang penggantian tersebut dan terus menjalani latihan tanpa mengetahui yang khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi.

Apabila mendapat tahu penyanyi lagu tersebut digantikan oleh Aizat, Uji meluahkan rasa kecewa dengan pihak produksi AJL27

Hancurnya mahligai cinta Sharnaaz Ahmad & Shila Amzah
Pada 10 Januari 2013, pelakon Sharnaaz Ahmad secara terbuka mengakui dia mengongkong penyanyi Shila Amzah kerana melihat hubungan mereka itu sebagai sesuatu yang serius selain mahu meletakkan wanita tersebut sebagai bakal isterinya.

Bagaimanapun kenyataan Sharnaaz telah memakan diri apabila bapa Shila iaitu ND Lala menyifatkan kata-kata Sharnaaz itu seolah-olah ingin melangkau batas adat resam orang Melayu.Sharnaaz dan ND Lala saling berbalas kenyataan sehinggakan Shila telah melarikan diri ke rumah rakannya di Terengganu. Shila turut memuat naik video di YouTube meluahkan rasa sedih dan memohon maaf kepada keluarganya kerana melarikan diri.

Dan kemudian menyanyikan lagu berjudul Ombak Rindu, sambil menangis teresak-esak, menggambarkan kesedihannya.

Beberapa hari selepas itu, Sharnaaz memberitahu dia telah membatalkan hasratnya untuk merisik Shila selepas merasakan keluarganya turut menanggung malu berhubung kontroversi ini.

Akhirnya pada 14 Februari 2013 hubungan percintaan yang cuba dipertahankan oleh Shila dan Sharnaaz sudah tamat.

Isteri orang bukan jodoh Fizz Fairuz

Sebab itulah pertunangan atau perkahwinan perlu dihebohkan. Jika tidak, inilah yang berlaku.

Pada 10 Februari, Fizz Fairuz yang hangat bercinta dengan Almy Nadia mengejutkan ramai pihak apabila dia telah bertunang dengan seorang wanita berusia 26 tahun di Kuantan, Pahang secara rahsia.

Bagaimanapun seminggu selepas itu, Fizz dimaklumkan wanita berkenaan merupakan isteri orang. Fizz telah membuat laporan polis untuk melindungi dirinya kerana bimbang jika ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Fizz turut menyatakan sepanjang dia berkawan dan berhubung dengan wanita berkenan dia tidak mengetahui individu itu tersebut adalah isteri orang.

Bagaimanapun Fizz sekali lagi melakukan gimik apabila memutuskan untuk bertunang dengan Almy Nadia tetapi akhirnya berita itu senyap begitu sahaja malah Almy Nadia juga enggan memberi sebarang ulasan berhubung hal berkenaan.

Sikap Fizz itu saling tak ubah seperti mencari publisiti murah.

Maznah Zolkifli Didakwa Punca Perceraian Noniswara

Industri hiburan telah digemparkan dengan kisah perceraian di antara pelakon Noniswara dengan suaminya, Datuk Rosman Ridzwan pada 30 April 2013.

Lebih panas apabila Noniswara secara terbuka mendedahkan penceraiannya adalah disebabkan orang ketiga iaitu teman rapatnya sendiri iaitu Maznah Zolkifli.

Bagaimanapun Maznah menafikan dakwaan tersebut.

Kata-kata lucah Sharifah Sakinah
Pelakon muda ini pada 10 Mei 2013 menimbulkan kontroversi apabila dia telah memuat naik video dengan kata-kata lucah menerusi laman sosial Keek milik aktres Anzalna.

Video tersebut mendapat reaksi negatif daripada semua pihak yang menganggap pelakon itu tidak mempunyai adab.

Sebelum itu Sakinah juga pernah memuat naik videonya di Keek dengan tajuk 'Saya Sebenarnya Pondan'.

Afiq Muiz dan ibunya, Hasliza

Afiq Muiz digelar si Tanggang
Anda pernah melihat filem Si Tanggang kisah anak yang menderhaka kepada ibunya selepas menjadi kaya?

Kisah cerita itu turut dikaitkan dengan Afiq Muiz apabila pelakon ini dikatakan menderhaka kepada ibunya Hasliza.

Pada 14 Mei 2013, ibu itu membuat pendedahan kerana hatinya sudah hancur selepas melihat perubahan Afiq yang disifatkannya sudah lupa diri apatah lagi sejak dikatakan mempunyai hubungan dengan pelakon baharu, Eina Azman.

Malah pelakon remaja itu juga sudah tidak lagi tinggal bersama ibunya tetapi memilih untuk hidup berdikari bersama rakan-rakannya yang lain.

Hasliza berkata, Afiq yang sebelum ini seorang anak yang baik dan mendengar kata telah berubah menjadi panas baran dan bersikap kurang ajar serta hilang perasaan sayang kepada adik-adiknya.

Sehari selepas itu, Afiq dan Eina mengadakan sidang media khas menafikan dakwaan Hasliza. Malah Eina memberi tempoh seminggu kepada ibu Afiq untuk memohon maaf secara terbuka melalui media kerana menuduhnya mengambil kesempatan terhadap pelakon tersebut.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang berita sama ada kekeruhan ibu dan anak itu sudah kembali pulih atau tidak.

Shahrizal Jaszle putus tunang kerana khalwat
Pada 17 Mei 2013, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengesahkan bahawa Shahrizal Jaszle yang telah bertunangan dengan Redzwani Puteri pada akhir tahun lalu telah ditangkap khalwat di sebuah apartmen di ibu kota dengan wanita lain.

Bagaimanapun, Shahrizal berkata dia diperangkap. Dia mendakwa tidak berdua-duaan sebaliknya terdapat lima orang dalam apartmen tersebut ketika serbuan dilakukan.

Pada 20 Jun 2013, wakil kepada keluarga Redzwani telah tampil memberitahu yang pertunangan Redzwani dengan Shahz Jaszle telah pun diputuskan oleh ibu bapa Redzwani selepas dua bentuk cincin iaitu sebentuk cincin belah rotan dan sebentuk cincin berlian dipulangkan.

Tidak lama selepas itu, Shahrizal bersyukur apabila keluarga tunangnya sudah menerimanya kembali pada pertemuan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Kes khalwat masih lagi belum selesai dan akan dibicarakan pada Januari depan.

Ashraf Muslim dan Wan Sakinah ketika majlis resepsi perkahwinan mereka.

Ashraf Muslim tambah satu lagi
Perkahwinan buat kali kedua pelakon Ashraf Muslim dengan bekas kru produksi televisyen, Wan Sakinah Ahmad Saburi di Thailand pada 7 Julai 2013 benar-benar mengejutkan industri seni lebih-lebih lagi perkahwinan pertamanya dengan Noor Dayana Lokman baharu mencecah usia tiga tahun.

Pada mulanya Ashraf menafikan mengenai perkahwinan keduanya itu sehinggalah dia membuat permohonan berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur pada 17 Julai 2013.

Perkahwinan itu juga telah melukakan hati keluarga Dayana kerana mereka tidak menyangka Ashraf berniat mahu berkahwin secepat itu.

Ashraf juga telah meletak jawatan di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah milik bapa Dayana tidak lama selepas itu.

Kahwin sorok-sorok Aeril Zafrel dan Wawa Zainal tidak menjadi

Pada 11 Oktober 2013 Aeril Zafrel mengaku hubungannya dengan aktres Wawa Zainal selama ini bukanlah teman biasa tetapi mereka sebenarnya adalah suami-isteri. Mereka memberitahu telah bernikah pada 25 Februari 2012 secara rahsia tanpa dihebohkan kepada pihak media.

Mereka bernikah sebanyak dua kali termasuklah pada kali kedua pada 4 Februari 2013 hampir setahun selepas pernikahan pertama.

Katanya, pernikahan kali pertama dibuat tanpa didaftarkan dengan pejabat agama tetapi terpaksa melangsungkan akad nikah kali kedua sebagai menghormati permintaan keluarga perempuan sebelum ia didaftarkan secara rasmi.

Hasil perkahwinan itu mereka dikatakan telah mendapat anak yang lahir pada 24 Ogos 2013 dan diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.

Terdahulu, desas-desus tentang hubungan rapat mereka telah terdengar namun dinafikan Aeril dengan memberitahu hubungan baik tersebut hanya sebagai rakan artis semata-mata manakala Wawa dikatakan pulang ke kampung halamannya di Sabah akibat sakit misteri.

Nooraida dan Adi Putra

Gambar ‘seksi’ Adi Putra gegarkan ‘Malaya’
Pada September lalu Adi Putra didakwa menjalinkan skandal dengan seorang wanita bernama Nooraida dan aktor itu disiasat polis selepas suami wanita itu, Amiruddin yang juga seorang ahli perniagaan dari Johor membuat aduan.

Pelakon itu didakwa saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan Nooraida walaupun baru seminggu berkenalan menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi sosial, WhatsApp sejak 29 Julai lalu sehinggalah perbuatan berkenaan dihidu Amiruddin.

Pada 12 Disember 2013, Adi mendakwa dia tidak bersalah selepas pihak polis menggugurkan kes skandal berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu melakukan gangguan seksual.

Berikutan itu, Amirrudin menerusi peguamnya, Muhammad Hasif Hassan pada sidang media sehari selepas itu meluahkan rasa kecewa selain mendakwa pegawai penyiasat kes berkenaan di Johor berat sebelah.

Sehubungan itu dia bersama isteri telah membuat laporan di bahagian tatatertib Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selain akan menghantar surat kepada Pejabat Peguam Negara untuk membuka semula kes itu.

Seminggu selepas itu, Amiruddin mendakwa telah menceraikan isterinya secara lisan dengan talak satu iaitu pada 19 Disember di kediamannya Kulai, Johor. Namun tetap akan meneruskan kes mendakwa Adi kerana berasa diri teraniaya.

Hangat-hangat tahi ayam, Johan As'ari & Lana Nordin
Apa ni Johan? Bercinta ‘seminit’ kemudian putus? Itulah kontroversi yang tidak habis-habis dilakukan Johan As’ari. Sebelum ini Johan dikaitkan dengan Nabila Huda, akhirnya putus jua.

Tidak lama kemudian dia merapati Shila Amzah dah akhirnya Lana Nordin. Tapi sayang, ia tidak kekal lama.

Pada 29 November 2013 Johan telah melamar Lana untuk dijadikan sebagai isterinya selepas tiga hari berjumpa.

Pasangan itu bertemu ketika menjayakan sebuah program pada 18 Oktober 213 dan tiga hari kemudian, Johan terus meluahkan isi hati dan hasrat beliau untuk memperisterikan aktres seksi itu kerana percaya Lana adalah jodohnya yang dimohon ketika mengerjakan umrah pada April lalu.

Bagaimanapun Johan menerusi kenyataannya di sebuah akhbar mengumumkan perpisahan cinta mereka selepas sebulan berkasih berikutan tidak direstui keluarganya.
sumber: mstar
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved