AIDILA (dalam bulatan) merakamkan gambar bersama rakan di Malaysia.
Kuala Lumpur: “Sehingga ke saat ini, saya masih umat Nabi Muhammad SAW. Tidak pernah terlintas langsung untuk murtad. Sampai hati mereka fitnah saya macam ni.” Itu tegas Aidila Hanani, wanita Melayu yang bukan saja dikatakan murtad, malah ditohmah menjadi pendakwah Kristian di Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, walaupun menetap di negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian dia masih berpegang teguh pada ajaran Islam, malah setiap hari mendidik suaminya, seorang warga AS tentang agama Islam.
Dia mendakwa khabar angin mula tersebar selepas dia menghadiri sebuah program komuniti yang diadakan di sebuah gereja di kawasan kediamannya. Beberapa minggu selepas itu gereja berkenaan mengeluarkan sebuah artikel dalam penerbitan mingguannya yang mendakwa Aidila atau lebih dikenali sebagai Adila Mcghee sudah memeluk agama kristian dan menjadi pendakwah di gereja berkenaan.
“Ia sebenarnya silap faham gereja dan penulis artikel berkenaan mengenai kehadiran saya ke sana. Saya ingin tegaskan diundang ke program komuniti itu sebagai seorang penceramah untuk berkongsi cerita mengenai cara hidup masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia,” ujarnya yang mengeluarkan kenyataan menerusi seorang rakan baik di negara ini.
Katanya, dia ada membuka gerai semasa hari pesta menuai di pekan kecil, Bowling Green yang bertempat di sebuah gimnasium di sebuah gereja, di situ.
Dari situ dia mengenali penduduk tempatan yang kemudian menjemput beliau memberi ceramah untuk persatuan wanita yang ingin mengenali Malaysia.
“Saya memberi ceramah mengenai Malaysia bermula dari sejarah sebelum dan selepas merdeka, geografi, cuaca, ekonomi, penduduk, makanan, budaya, agama dan lain-lain.
“Saya amat terkejut kerana ramai dari mereka yang tidak tahu di mana Malaysia. Mereka cuma tahu Malaysia negara Islam.
“Selain memperkenalkan tanah air kita kepada mereka, saya juga menerangkan wanita Malaysia berjaya dalam kehidupan mereka serta memegang pelbagai jawatan tinggi di semua peringkat dan boleh memandu,” katanya.
Adila dan suaminya F McGhee sudah menghubungi pengurusan gereja yang menjemputnya memberi ceramah mengenai Malaysia itu untuk berbincang tentang penulisan artikel berkenaan dan mahu pihak pengurusan berbuat sesuatu untuk membersihkan namanya.
Adila yang kini menjadi tenaga pengajar bahasa Melayu di Diplomat Language Center di Washington DC. berkata, keluarganya yang berada di Malaysia turut menerima tempias fitnah berkenaan sehingga menyebabkan mereka malu apabila beberapa kenalan mula bertanya tentang kesahihan khabar angin yang tersebar di laman Facebook dan WhatsApp.
“Lebih menyedihkan lagi apabila kisah peribadi mengenai perkahwinan terdahulu saya dijaja kononnya menjadi punca murtad. Demi Allah, hati saya tetap dengan Islam,” kata lulusan pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan berasal dari Ipoh itu.
Bekas pelajar Kolej Islam Klang (KIK) Selangor itu mendakwa gambar di laman Facebooknya termasuk gambar semasa beliau belajar di KIK turut dimuat turun dan disebarkan di laman sosial lain.
Katanya, beliau juga diganggu dengan pelbagai tohmahan menerusi e-mel, teks dan panggilan telefon.
“Saya juga kesal kerana nama beberapa kawan saya semasa di KIK turut dikaitkan dalam tohmahan ini, sedangkan mereka tidak tahu apa-apa,” ujar Adila.
Sementara itu, rakan baik Aidila yang hanya mahu dikenali sebagai Maznah berkata, dia amat terkejut apabila membaca dakwaan berkenaan menerusi mesej WhatsApp yang dihantar seorang rakan beberapa hari lalu.
“Saya segera menghubungi Aidila dan memberitahunya mengenai perkara itu. Dia terkejut dan amat sedih atas tuduhan melulu yang dilemparkan terhadapnya dan tidak menyangka kehadirannya di gereja disalah ertikan sebagai murtad,” katanya ketika dihubungi semalam.
Maznah berkata Aidila kerap kembali ke Malaysia, sekurang-kurangnya setahun sekali untuk bertemu keluarga dan rakan-rakan dan tidak pernah menunjukkan sebarang petanda dia sudah keluar dari Islam, malah suaminya juga amat berminat mendalami Islam.
“Saya harap pihak yang masih menyebar khabar angin ini agar berhenti segera kerana Aidila memberitahu saya bahawa dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika masih ada yang menuduhnya murtad,” katanya.
Sumber: Harian Metro
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment