Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) berlangsung dengan penuh gemilang di Stadium Melawati, Shah Alam pada Jumaat, jam 9.00 malam di TV3. Secara keseluruhan, ASK berjalan dengan lancar dan dilihat lebih baik daripada penganjuran edisi sebelum ini dengan majlis yang ringkas dan menghiburkan.
Filem 'Kil' mengungguli kategori filem dengan merangkul Anugerah Filem Terbaik, manakala drama terbitan Suhan Movies, 'Mawar Putih Tanda Perpisahan', mengungguli kategori drama dengan merangkul Anugerah Drama Terbaik. Anugerah Drama Rantaian terbaik pula dimenangi oleh drama bersiri 'Surat Dari Langit Biru', terbitan Rashbir Media Sdn Bhd.
Tahun ini, kategori Anugerah Khas diberikan kepada drama yang memberikan impak mendalam dan menjadi fenomena baru kepada penonton televisyen di Malaysia. Anugerah Khas tersebut diberikan kepada drama 'Sebenarnya Saya Isteri Dia' terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd.
Untuk penganjuran kali ini, ASK 2013 menyaksikan gandingan pengacara Awal Ashaari, Faizal Ismail dan buat pertama kalinya, aktres kecil molek, Nad Zainal membuat penampilan sulung selaku pengacara di anugerah prestij. Bagi GUA, penampilan pertama Nad sebagai pengacara dilihat sebagai sebuah percubaan yang boleh dibanggakan. Cuma Nad dilihat seperti sukar menempatkan diri di antara Faizal Ismail dan Awal Ashaari. Malah, beberepa kali terkelu bahasa.
Persembahan yang ditampilkan sepanjang ASK 2013 juga tidak kurang hebatnya dan menghiburkan. Ada persembahan yang mengembalikan nostalgia, sebagai contoh persembahan daripada Amir Jahari, DJ Fuzz, Waris dan Juzzthin menyampaikan lagu runut bunyi drama hit 'Opah' dan 'Cili Padi'. Begitu juga dengan persembahan daripada Ogy Ahmad Daud. Lagu 'Wajah Rahsia Hati' yang disampaikan oleh pelakon, penyanyi, pengarah dan pengacara ini turut mengimbas kenangan lalu.
Melihat kepada penataan pentas, tema kaca yang cuba ditonjolkan oleh tenaga produksi ASK 2013 dilihat 'menjadi' kerana elemen-elemen yang ditampilkan dapat merealisasikan tema tersebut. Penataan grafik yang ditonjolkan menerusi LED juga dilihat begitu menarik.
Sesungguhnya, penganjuran ASK kali ini dilihat begitu membanggakan dan usaha ASK dalam mengiktiraf penggiat seni haruslah diteruskan di tahun-tahun seterusnya.
sumber: http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment