Jawapannya mudah. Pramugari AirAsia ini sebenarnya adalah anak sulung Julia sekali gus membawa maksud Saleem ayah tirinya.
Cuma selama program realiti TV ini bermula, Iera mengambil pendekatan menutup mulut berkaitan hal peribadinya daripada diketahui ramai. Iera seboleh-bolehnya mahu berdikari dalam menentukan haluan kariernya sendiri tanpa dibayangi Saleem. Hanya segelintir pihak dalam industri hiburan tahu mengenai perkara ini.
Biarpun berstatus anak tiri, Iera mula rapat dengan Saleem sejak di bangku sekolah kerana mereka tinggal sekeluarga di Kuala Lumpur.
Awalnya, Saleem, 52, mahupun Julia, 51, menolak kerana tidak mahu dikatakan memberikan kelebihan buat Iera. Bagaimanapun mereka akur atas permintaan akhbar ini kerana ia juga satu sokongan kepada Projek Metro 2013.
“Sebenarnya saya lebih suka orang tak kenal dia anak siapa kerana hendak dia berdikari. Biarlah Iera menapak atas usaha sendiri dan bukan kerana dia anak saya. Kalau boleh saya nak perkara ini dirahsiakan sehinggalah tiba waktu yang sesuai.
“Bagaimanapun secara jujurnya saya mengaku sejak dulu lagi, Iera seorang yang berbakat. Dia banyak juga menimba pengalaman kerana pernah bekerja dengan saya terutamanya mengendalikan acara hiburan yang besar membabitkan saya.
“Iera juga pernah jadi pengacara untuk satu majlis diraja termasuk yang dihadiri Sultan Terengganu di Pesta Air Terengganu. Itu sekurang-kurangnya satu pendedahan yang baik buat dirinya,” kata Saleem.
Sebagai ibu, Julia pula menggalakkan anak sulung daripada dua adik beradik ini berdikari dan mencari pengalaman hidup sendiri.
“Saya sedar Iera mula minat dengan dunia hiburan sejak kecil. Kalau nak tahu, Iera dulu lebih lasak atau ‘tomboy’. Jadi perlahan-lahan saya ubah dia jadi lebih feminin.
“Kami juga memberikan kepercayaan kepadanya menguruskan Salju Productions (gabungan nama Saleem dan Julia) yang aktif menganjurkan acara. Artis-artis yang diuruskannya terdiri daripada nama-nama besar. Alhamdulillah dia membalas kepercayaan yang diberikan dan saya sangat berbangga apabila dia terpilih menyertai Projek Metro,” katanya yang dikurniakan anak lelaki, Mohd Amirroll Mukminin, 10, hasil perkahwinan dengan Saleem.
Ibu bapa mana yang tidak teruja malah bercampur risau apabila menyaksikan anak mereka bersaing dalam program realiti TV.
“Kami memang tak ke mana-mana setiap Ahad kerana nak tengok Iera muncul dalam Projek Metro. Kami juga tak ketinggalan membeli akhbar ini untuk mengetahui perkembangannya. Dia tak pernah mengadu sebarang masalah yang dihadapi tapi menerusi skrin TV kami boleh nampak bagaimana situasi dirinya.
“Selepas itu kami berdua akan menghubunginya untuk bertanyakan perkembangan dan memberikan nasihat. Iera kuat berahsia. Waktu pergi ke uji bakat Projek Metro September lalu, dia tak beritahu kami pun,” ujar Julia.
Saleem mencelah, dia akui kasih sayangnya sebagai seorang ayah tidak pernah berbelah bahagi. Kadangkala dia melayan sebagai seorang sahabat untuk berkongsi pendapat.
“Malah saya tak pernah jentik Iera sepanjang menjaganya. Sememangnya saya dan isteri ada harapan yang cukup tinggi terhadap Iera. Kalah menang dalam Projek Metro kelak, kami akan tetap berbangga dengan Iera,” kata Saleem.
Sementara itu, episod kelima Projek Metro, Ahad ini, jam 10.30 malam akan menampilkan tujuh peserta dalam tugasan menarik di Pulau Pinang. Mereka perlu menyiapkan sebuah travelog mini untuk dinilai barisan hakim termasuk juri undangan, Maria Tunku Sabri.
Bagi penonton, anda juga berpeluang menyertai kuiz mudah (terkumpul) bagi memenangi hadiah hebat pakej pelancongan ke luar negara sumbangan AirAsiax, AirAsia dan Tune Hotels.
sumber: http://www.hmetro.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment