Liyana Jasmay buat lagu untuk anak

[x]

Liyana Jasmay buat lagu untuk anak

on Tuesday, 26 November 2013

TERUJA hamil anak sulung, Liyana Jasmay mahu mengabadikan pengalaman perdananya itu dengan merakam sebuah lagu khusus buat anaknya nanti.

PELAKON comel Liyana Jasmay mengakui risau kerana berat badannya cuma bertambah dua kilogram sahaja selama dia hamil 15 minggu (tiga bulan lebih).

Takut perkara tersebut akan menjejaskan bayi dalam kandungannya, pelakon filem Papadom 2 itu cuba menambah berat badannya dengan mengambil kuantiti makanan yang banyak. Walau bagaimanapun, Liyana akan termuntah setiap kali menjamah makanan kerana mengalami alahan yang teruk.

“Sejak awal kehamilan sehingga kini saya masih lagi mengalami alahan. Sekarang usia kandungan saya sudah mencecah 15 minggu, tetapi berat badan saya cuma bertambah dua kilogram sahaja.

“Ia berbeza dengan situasi sewaktu kakak saya hamil dahulu, saya nampak berat badannya bertambah begitu ketara. Saya risau dan pergi berjumpa doktor. Mujur, doktor beritahu berat badan saya bertambah atau tidak, yang penting bayi dalam kandungan saya membesar dalam keadaan sihat,” ungkapnya dengan perasaan lega ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu runut bunyi filem Papadom 2 di Red Box Sogo, Kuala Lumpur.

Berkongsi mengenai pengalaman yang diperoleh sepanjang hamil, kata Liyana, dahulu dia suka mengambil nasi dalam jumlah yang banyak, tetapi kini hendak menjamahnya sedikitpun susah.

Tidak hanya pada nasi, pelakon berusia 25 tahun itu juga alah pada makanan-makanan lain.

Cuma, ujar Liyana, dia hanya boleh menjamah mi segera dan ayam goreng sahaja.
HAMIL 15 minggu, Liyana bimbang kerana berat badannya hanya bertambah dua kilogram sahaja.

Mengulas mengenai perubahan pada sikapnya pula, luah Liyana, dia menjadi lebih garang dan tidak suka dimanjakan selepas hamil.

“Kalau orang lain, bila mengandung akan sensitif dan jadi lebih manja. Tetapi, saya pula tidak suka dimanjakan malah menjadi semakin garang ketika mengandung,” ungkapnya sambil ketawa.

Menetap dengan keluarga buat masa ini, tutur Liyana, suaminya, Fathuddin Mazlan yang bekerja di Sabah akan pulang ke Kuala Lumpur seminggu sekali berjumpa dengannya.

Jelas Liyana lagi, suaminya juga menjadi lebih mengambil berat sejak dia hamil.

“Alhamdulillah, suami jadi lebih penyayang dan cukup mengambil berat masa saya mengandung. Kalau saya sedih atau menangis, dia akan balik dengan tiba-tiba sahaja,” ujarnya sambil menguntumkan senyuman manis di bibir mungelnya.

Selain sibuk mempromosikan filem Papadom 2 yang bakal ditayangkan pada 12 Disember ini, Liyana juga bakal merakamkan beberapa buah lagu untuk album terbaharunya.

Biarpun ramai yang mempertikaikan kebolehan Liyana menyanyi, tetapi pelakon yang berasal dari Kuantan, Pahang itu mengakui serius menceburi bidang nyanyian kerana minat yang mendalam.

“Saya sangat suka menyanyi. Saya mahu serius dalam bidang ini sama macam bidang lakonan. Saya bakal memasuki studio rakaman untuk merakamkan beberapa buah lagu lagi. Saya juga akan berkolaborasi dengan seorang penyanyi rap yang saya tidak boleh umumkan lagi buat masa ini,” ujarnya yang turut merancang menghasilkan sebuah lagu istimewa buat anaknya.

Liyana dan Fathuddin Mazlan, 29, selamat diijabkabulkan pada 2 Februari 2013 dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur.

Dia kemudian sedar dirinya hamil selepas kandungan berusia sebulan, baru-baru ini.
sumber: http://www.kosmo.com.my/

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved