
BARISAN pelakon drama Elly & Epit iaitu Johan (duduk dari kiri), Rykarl, Sweet, Afiq (berdiri dari kiri), Dayana dan Abdul Hadi.
Disiarkan 13 episod, Elly & Epit yang mengete–ngahkan kisah kekeluargaan masih diterajui barisan pelakon asalnya sejak musim pertama seperti Farhanna Qismina atau Sweet sebagai Elly, Afiq Shazwan (Epit), Rykarl Iskandar (Kobi), Johan Raja Lawak (Johari), Nik Adrea (Engku Sofia) dan Nad Zainal (Eliza).
Tidak ketinggalan, bagi memantapkan lagi kisah dipaparkan untuk musim ini yang lebih segar dan ke arah menonjolkan kematangan Elly dan Epit sebagai remaja, dimuatkan juga beberapa watak lain seperti Hujan dilakonkan Abdul Hadi Abdul Mazlan, Diana (Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah, Zila (Wan Faiqah Ainaa) dan Khairil (Muhammad Azzammuddin Lop Hisham).
Pengarahnya, Umi Salwana Omar berkata, pengisian drama Elly & Epit musim baru ini penuh keceriaan dan warna-warni kehidupan berkeluarga yang pastinya mampu mencuit hati.

“Seiring dengan pendekatan drama ini yang dihasilkan khusus untuk tatapan kanak-kanak serta seisi keluarga daripada pelbagai golongan usia, elemen komedi dimuatkan amat menghiburkan.
“Terutama membabit–kan watak Johari lakonan Johan dan Kobi (Rykarl) adalah gabungan yang mantap. Tak dinafikan sepanjang berada di set peng–gambaran drama ini pun kami tidak kering gusi ketawa.
“Jadi, saya yakin walaupun drama Elly & Epit terbaru ini menjurus pada perwatakan remaja pelakon utamanya yang kini masing-masing sudahpun berusia 16 tahun, namun tetap kelakar,” katanya.
Umi berkata, dalam musim baru ini juga ditampilkan juga kemunculan istimewa beberapa selebriti popular tanah air seperti Lisa Surihani, Jonathan Putra, Ruminah Sidek, Harun Salim Bachik dan pelakon baru, Akhmal Nazri atau JIbam.

TERAJU utama drama Elly & Epit iaitu Afiq dan Sweet.
Sarat dengan pelbagai mesej mengenai realiti kehidupan, drama Elly & Epit musim baru ini dihasilkan sebaik mungkin demi memenuhi permintaan ramai terutama bersesuaian untuk tontonan kanak-kanak.
Bersandarkan kejayaan drama Elly & Epit yang pernah diiktiraf sebagai Drama Komedi Terbaik pada Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) lalu, ia turut dianggap oleh Umi sebagai cabaran besar perlu digalasnya.
“Ini kali pertama saya terbabit dalam pembikinan drama Elly & Epit bersama seorang lagi pengarah yang turut dipertanggungjawab–kan pihak penerbitan iaitu Choo Li Hsia.
“Tak dinafikan, walaupun ia drama bersiri untuk kanak-kanak, tetapi dengan kemenangan pernah diraih dalam ASK 2012 lalu cukup memberikan tekanan yang besar kepada kami terutama apabila memikirkan tahap harapan penonton yang mungkin tinggi,” katanya.
Dengan acuan olahan jalan cerita diketengahkan termasuk gandingan barisan pelakon yang cukup berbakat dan mantap, dia yakin drama Elly & Epit musim terbaru ini akan diterima baik penonton.
Ditambah lagi, katanya. keletah Rykarl yang bersahaja dan petah berdialog turut menjadi tarikan utama penonton untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan drama Elly & Epit bagi mengisi kelapangan masa hujung minggu bersama seisi keluarga.
sumber: http://www.hmetro.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment