Pengarah Tokan Mengaku Buat Silap

[x]

Pengarah Tokan Mengaku Buat Silap

on Tuesday, 24 December 2013


Filem yang berkisar tentang realiti disebalik isu pengedaran dadah di Malaysia, Tokan, dilihat berjaya memaparkan sisi gelap industri itu menerusi sinematografi dan karakter setiap watak.

Namun pengarah, Ghaz Abu Bakar, masih tidak berpuas hati dengan hasil karyanya.

"Tak ada pengarah yang akan berpuas hati dengan hasil kerjanya. Saya tak terkecuali. Jika diberi masa penggambaran yang lebih panjang, mungkin saya boleh buat lebih baik. Saya nampak kesilapan saya dan saya belajar daripada kesilapan saya," ujar Ghaz usai majlis pra-tonton filem Tokan, baru-baru ini.

Jelas Ghaz, kebiasaannya filem aksi mengambil masa 45 hari untuk proses penggambaran. Namun, penggambaran Tokan hanya berjalan selama 28 hari bertempat di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur.

"Saya faham industri perfileman negara dan kami dah cuba menjalankan penggambaran menggunakan bajet yang diberikan. Apabila dah tahu masa dan bajet terhad, apa yang saya boleh harapkan adalah elemen-elemen yang pelakon boleh beri. Pelakon yang hebat menjadikan kerja lebih senang," jelas Ghaz.

Menampilkan pelakon-pelakon seperti Zizan Razak, Soffi Jikan, Pekin Ibrahim, Johan As'ari dan Liyana Jasmay, bagi Ghaz, pelakon-pelakon ini berjaya menghidupkan watak masing-masing.

Zizan yang selama ini sering melakonkan filem komedi, pertama kali membawa watak lebih serius dalam Tokan.

"Saya bersyukur jika penonton dapat melihat watak saya yang serius. Walaupun watak saya serius, namun saya selitkan juga komedi yang tak keterlaluan kerana watak serius itu adalah kehendak skrip dan lawak yang saya sampaikan adalah diri saya sendiri," jelas Zizan.

Bagi Johan pula, membawa watak pembunuh upahan merupakan pengalaman baru sepanjang kerjaya lakonannya.

"Ini pertama kali saya jadi pembunuh upahan. Saya rasa berbesar hati dapat berkerjasama dengan pengarah yang hebat dan menimba pengalaman baru," kata Johan.

Tokan diterbitkan oleh Pencil Pictures & Records Sdn Bhd dan diedarkan oleh Metrowealth Sdn Bhd. Filem bergenre aksi ini bakal menemui penonton seluruh Malaysia mulai 26 Disember ini.
sumber;http://www.gua.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved