(Gambar motosikal mangsa yang terbakar)
PONTIAN – Cubaan seorang cucu untuk mencuri motosikal jenis Honda EX5 datuknya tidak berhasil apabila kenderaan yang diletakkan di belakang sebuah rumah di Kayu Ara Pasong, di sini, tiba-tiba terbakar.
Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu disedari nenek suspek yang kemudian bertindak meminta pertolongan seorang anak yang tinggal bersebelahan untuk memadam api dari merebak ke bahagian dapur.
Wanita berusia 62 tahun itu yang mahu dikenali sebagai Zainab berkata, dia dan suami masih trauma dengan kejadian tersebut.
Dia juga tidak menyangka cucu yang dijaga sejak sebulan lalu sanggup bertindak sedemikian selepas permintaan untuk meminjam motosikal datuknya ditolak pada petang sebelum kejadian.
Menurutnya, lebih mengecewakannya, perbuatan cucunya itu juga nyaris menyebabkan rumah kayu didiami terbakar.
“Bau plastik terbakar begitu kuat ketika nenek sedang berehat di ruang tamu menyebabkan rasa tidak sedap hati.
“Mujur nenek sedar dan segera meminta pertolongan, jika tidak, mungkin datuk dan nenek serta seorang cucu berusia 12 tahun yang tinggal bersama kami akan rentung,” katanya.
Dia begitu terkejut apabila melihat motosikal yang diletakkan di dapur terbakar dan segera mengejutkan suaminya yang sedang tidur ketika itu.
“Walaupun suami susah hendak bergerak kerana masalah kaki yang dialami disebabkan usia sudah mencecah 78 tahun, dia tetap gagahkan diri memadam api dengan menyimbah air.
“Api berjaya dipadamkan tidak lama selepas itu, hanya bahagian bumbung dapur rumah mengalami kerosakan kecil akibat terkena api,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Zahaliman Jamin mengesahkan kejadian itu.
Suspek yang merupakan cucu mangsa telah ditahan untuk siasatan lanjut selepas mangsa membuat laporan kejadian di Balai Polis Kayu Ara Pasong.
–sumber: Sinar Harian
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment