Ain Satar & Ku Mohd Amirul Terajui Vector 58

[x]

Ain Satar & Ku Mohd Amirul Terajui Vector 58

on Wednesday, 4 December 2013


Dua pendatang baru dalam industri lakonan tanah air, Ku Mohd Amirul dan Ain Satar yang merupakan teraju utama dalam drama bersiri terbaharu di TV9, ‘Vector 58’ mengakui terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran sewaktu menjalani penggambaran drama terbitan Chain-FX Sdn Bhd itu.

Ain dan Amirul ketika ditemui di sidang media ‘Vector 58’ pada Selasa, walau bagaimanapun berasa teruja dapat beraksi dalam drama arahan Roshfaizal Ariffin ini apatah lagi ia merupakan drama sulung mereka berkonsepkan aksi sains fiksyen.

“Biarpun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran, namun kami seronok dapat berlakon dalam Vector 58 kerana banyak ilmu baru yang diperoleh sepanjang menjalani penggambaran drama ini. Pengalaman sepanjang 45 hari penggambaran ini juga sangat menakjubkan kerana banyak perkara menarik yang kami lalui, antaranya teknik kesan visual,” ujar Ain sambil menceritakan cabarannya dalam drama 13 episod itu.

“Cabaran besar saya mestilah apabila kena potong rambut pendek bagi merealisasikan watak Lia yang seperti tomboi. Selain itu, saya juga perlu menggunakan daya imaginasi tinggi untuk menghayati watak yang diberikan. Ini kerana, robot yang digunakan dalam drama ini adalah hasil teknik imej CGI, jadi sewaktu penggambaran saya hanya berlakon dengan tongkat saja. Ia memang pengalaman yang luar biasa. Namun, saya seronok dapat berlakon dalam drama ini,” ujar Ain.

Berkongsi mengenai pemilihan mereka sebagai pelakon utama, Amirul memberitahu perkara ini berlaku secara kebetulan. Mengakui tidak menyangka dapat memegang watak utama, graduan Diploma Pengurusan dari Unitar ini bagaimanapun berasa gembira kerana diberi kepercayaan oleh pihak produksi walaupun dia tidak mempunyai latar belakang dalam bidang seni.

“Saya memang berminat dalam bidang seni, tetapi tak pernah terlintas untuk menjadi seorang pelakon. Apabila tawaran ini datang, saya terus sambar peluang ini. Saya memang tak sangka akan dapat watak utama dan ia merupakan satu pengalaman yang unik dan menarik buat saya,” ujar Amirul.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan lakonan Ain Satar dan Ku Mohd Amirul dalam ‘Vector 58’ pada setiap Sabtu, jam 5.30 petang, bermula 7 Disember ini, di TV9. Selain Ain dan Amirul, ‘Vector 58’ turut dibintangi oleh Norman Hakim, Fazlina Ahmad Daud, Nor Intan Bhaizura, Jefri Jefrizal dan ramai lagi.
sumber: http://www.gua.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved