Pelakon utama filem ‘Balada Pencinta’, Johan Ariff As’ari, 26, menyatakan bahawa dia bersyukur dapat mengenali penyanyi jelita, Shila Amzah sebagai teman rapatnya.
“Hubungan kami hanya sekadar teman rapat sahaja. Walaupun terdapat gambar-gambar kami berdua di laman Instagram dan orang anggap kami bercinta, tapi sebenarnya kami rapat sebagai kawan. Saya bersyukur dapat mengenali Shila kerana dia adalah seorang gadis yang baik dan cantik,” ujar Johan ketika ditemui di majlis tayangan media filem ‘Balada Pencinta’ di Cathay Cineplex, Cineleisure Damansara pada Khamis.
Johan juga menjelaskan mengenai perihal pertunangannya yang digembar-gemburkan sebelum ini. Menurut hero filem ‘Juvana The Movie’ ini, dia tidak pernah berjanji kepada sesiapa mengenai hal pertunangan.

“Mengenai tunang, saya tak pernah janji dengan sesiapa pun. Saya hanya meletakkan sasaran untuk bertunang pada hujung tahun ini, bukannya berjanji. Saya juga berkawan dengan ramai wanita, tapi saya bukannya kaki perempuan kerana saya belum pernah melafazkan cinta kepada mana-mana wanita. Saya hanya mampu merencanakan sesuatu perkara itu. Saya sudah mencuba untuk meletakkan sasaran untuk bertunang pada penghujung tahun ini, tapi jika belum waktunya, saya terima dengan terbuka,” ulas Johan.
Dalam perkembangan lain, filem terbaru lakonannya, ‘Balada Pencinta’ bakal menjengah pawagam di seluruh Malaysia pada 24 Oktober. Johan memainkan watak sebagai Amir disamping aktres Siti Saleha.
“Dalam memegang peranan sebagai Amir, saya banyak bermain emosi. Ini kerana Amir menjalin hubungan cinta dengan Aisyah, lakonan Saleha dan mendapat tentangan kerana mereka tidak setaraf. Amir merupakan seorang pemuzik jalanan yang asalnya seorang gangster. Tiada masalah untuk saya mendapatkan ‘chemistry’ bersama Saleha kerana senang untuk saya bekerja bersamanya,” tutur Johan.

“Cabaran saya dalam filem ini adalah untuk melakonkan babak-babak pertarungan dan pergaduhan antara Amir dan Boy, lakonan Sein. Selain itu, saya juga begitu kagum dengan cara pengarahan Khir Rahman dalam filem ini,” ucap Johan mengakhiri perbualan.
sumber:
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment