Kes Saman Fitnah Bekas Isteri Hattan Terhadap Oh Bulan Selesai

[x]

Kes Saman Fitnah Bekas Isteri Hattan Terhadap Oh Bulan Selesai

on Thursday 31 October 2013

Kes saman fitnah RM1 juta yang difailkan bekas isteri Hattan berhubung satu artikel akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik selepas pemilik blog hiburan Oh Bulan! membuat permohonan maaf di Mahkamah Tinggi semalam.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin merekodkan pernyataan bersama itu dengan dihadiri peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili plaintif, Noorfarashikin Othman dan peguam Andrew Suresh bertindak bagi pemilik blog itu, Driven Communications Sdn Bhd.

Pada 3 Julai tahun lepas Noorfarashikin, 33, yang bercerai dengan Hattan atau nama sebenarnya Datuk Mohd Shukri Sahabuddin selepas dua bulan berkahwin menfailkan saman itu atas dakwaan defendan telah menerbitkan satu artikel yang menfitnahnya melalui laman portal hiburan tersebut.

Andrew semasa membacakan pernyataan bersama itu berkata defendan sangat menyesali berhubung penerbitan artikel itu dan ingin secara ikhlas menghulur kemaafan kepada plaintif.

Beliau berkata defendan menerima bahawa dakwaan-dakwaan di dalam artikel itu adalah tidak benar dan tanpa asas.

Amer Hamzah ketika membacakan pernyataan itu berkata defendan bersetuju untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat terhadap plaintif dan defendan membuat aku janji untuk tidak mengulangi dakwaan-dakwaan itu dan juga telah membuang artikel yang dipertikaikan itu dari laman webnya.

Amer Hamzah berkata sehubungan itu anak guamnya merasakan dakwaan terhadapnya telah disangkal dan merasa lega untuk membiarkan perkara ini berakhir.

Noorfarashikin dalam writ samannya berkata artikel itu antara lain bermaksud beliau merupakan seorang yang curang, tidak boleh dipercayai dan isteri yang tidak setia.

Dalam pernyataan tuntutannya, wanita itu antara lain memohon ganti rugi am berjumlah RM1 juta, ganti rugi khas, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Beliau berkata reputasi peribadi dan profesionalnya telah rosak dan beliau mengalami kesedihan, rasa malu dan tersinggung perasaan akibat penyiaran artikel itu.

Amer Hamzah ketika ditanya pemberita mengenai terma-terma penyelesaian berkata bahawa pihaknya tidak boleh mendedahkannya. – BERNAMA
sumber: Kezoom
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© BELOG HARIAN All Rights Reserved