FIDA menafikan dia telah berkahwin dengan pengurusnya sendiri iaitu Shah. Fida juga mohon pihak yang mendakwa dia berkahwin di Thailand, tampil dengan bukti pernikahannya.
SATU demi satu kontroversi menghimpit penyanyi dan juga pelakon Rafidah Ibrahim atau Fida. Bermula dengan isu gambar tidak memakai tudung, isu percintaan, isu memakai bajut ketat dan juga lari dari set penggambaran telefilem Kampungku dan Aidiladha yang berlangsung di Kedah sekitar bulan September lalu.
Terkini, Fida sekali lagi terpalit kontroversi apabila didakwa mengikut jejak langkah pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal berkahwin secara senyap.
Fida didakwa telah melangsungkan perkahwinan dengan pengurusnya yang dikenali sebagai Shah di Selatan Thailand tahun lalu. Namun dia cuba menyorokkan hakikat tersebut dengan mencipta isu percintaan dengan pelakon komedi Zalif Sidek.
Atas sebab itu juga, setiap kali muncul dalam majlis-majlis hiburan, Fida didapati mengenakan inai di kukunya. Alasan Fida mengenakan inai sejak setahun yang lalu ialah untuk menaikkan seri pada kukunya.
Tidak cukup dengan itu, Fida juga didakwa ‘gila publisiti’ kerana sering kali dilihat cuba menyertai program-program realiti seperti Akademi Fantasia 2013 dan terbaharu program Maharaja Lawak Mega 2013.
Adakah benar semua dakwaan yang menghimpit pelakon filem Adik Manja The Return itu dan apakah motif di sebalik penyertaannya dalam semua program realiti popular?
Fida melanjutkan perbualannya bersama Kosmo! ketika ditemui pada majlis sidang akhbar memperkenalkan barisan pelawak yang menyertai program realiti Maharaja Lawak Mega 2013 di Hotel Istana, Kuala Lumpur.
Kosmo!: Adakah benar anda telah berkahwin secara senyap di Selatan Thailand dengan pengurus sendiri?
FIDA: Kahwin? Kalau betul saya telah berkahwin sila kemukakan bukti. Cerita saya kahwin secara senyap sebenarnya sudah timbul sejak dulu lagi. Sebelum ini, saya didakwa berkahwin secara senyap dengan seorang VIP. Sekarang, saya didakwa pula berkahwin secara senyap dengan pengurus sendiri. Sebenarnya, ada orang yang cuba mereka cerita mengenai perkahwinan saya.
Bagaimana pula dengan dakwaan inai yang sering menghiasi jari?
Saya memang suka pakai inai sejak dulu lagi. Sebabnya, kita (orang Islam) tidak boleh pakai pewarna kuku, jadi saya pakai inai untuk cantikkan kuku.
Kenapa anda sering sahaja dihimpit kontroversi?
Di Malaysia, orang lebih suka mengetahui tentang kontroversi berbanding perkara lain. Ia juga sudah jadi perencah tambahan dalam kerjaya seorang pelakon atau penyanyi.
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment