Pelakon dan pengarah Pierre Andre yang kini muncul dengan filem terbaru arahannya, ‘Highland Tower’ mengakui dirinya agak penakut berbanding dengan adiknya, Mikael Andre yang juga merupakan pelakon utama filem ‘Highland Tower’.
“Pada mulanya apabila saya diajak oleh Mikael untuk ke tempat tragedi Highland Tower, saya sukar membuat keputusan kerana saya agak penakut. Tapi akhirnya saya sertai juga Mikael dan pelakon-pelakon lain. Pertama kali saya menjejakkan kaki ke sana, bergoyang kaki saya dibuatnya. Pada awalnya timbul perasaan agak takut, namun begitu saya teruskan juga,” jelas Pierre memulakan bicara.
“Tetapi selepas itu, timbul pula perkara lain. Saya rasa sedih dan kecewa apabila terkenangkan semula kejadian yang berlaku di Highland Tower. Saya dapat merasakan kesedihan penduduk-penduduk di sana yang hilang ahli keluarga serta orang yang mereka sayang,” tutur Pierre yang ditemui di majlis tayangan filem ‘Highland Tower’ di Cathay Cineleisure, Damansara baru-baru ini.
Pierre juga mengakui sememangnya wujud perkara-perkara mistik di lokasi tragedi sewaktu mereka menjalani penggambaran.
“Perkara mistik itu memang ada. Salah seorang pelakon filem itu, Shima Anuar memang benar-benar dirasuk. Kami juga ada menyediakan orang yang berpengalaman dalam bidang agama di set penggambaran. Apa yang cuba ditonjolkan adalah bukan hantu atau perkara mistik, tetapi kami tenaga produksi ingin menaikkan ‘mood’ seram itu sendiri,” tutur pengarah filem ‘Seru’ ini.
“Saya suka dengan kejujuran yang ditonjolkan oleh barisan pelakon filem ini. Hampir 70% rakaman visual sebenar saya gunakan untuk mengolah filem ini. Pengalaman mengolah filem ini agak berbeza daripada filem seram arahan saya yang berjudul ‘Seru’. Kalau dalam filem ‘Seru’ semuanya telah dirancang, namun filem ini semuanya berlaku secara ‘impromtu’. Tiada skrip, tiada dialog malahan jalan cerita filem ini dibentuk sendiri oleh barisan pelakon,” ujar Pierre lagi.
sumber: http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment