PANCAWARNA dunia glamor jelas terpancar menerusi rutin hariannya. Jadual kerja tidak menentu, panggilan tawaran ada yang tiba-tiba harus dipenuhi, segala hati hendak ditawan sehinggakan ada ketikanya menjadi manusia yang serba positif untuk memuaskan hati pihak lain. Itu semua dunia yang sedang dihadam oleh si jelita bernama Reen Rahim.
Pilih Kasih menjadi platform pertamanya. Usai bergelar juara musim ketiga program realiti lakonan itu sekitar pertengahan tahun 2012, dia terus menyerahkan kudrat dan nasib untuk menapak menjadi pelakon.
Untung sabut timbul, untung batu ia tenggelam. Terjunan Reen, 25, tidak sekadar percubaan untuk perjudian timbul atau tenggelam. Reen mengakui dia takut bermain gelora dunia hiburan yang penuh pancaroba.
"Sebenarnya tiada erti glamor dalam hidup saya, cuma bidang yang saya ceburi ini sentiasa dilihat glamor oleh seluruh masyarakat. Apabila saya masuk menjadi pelakon, secara tak langsung digelar selebriti, penampilan diri harus dijaga biar bertempat dan kena pada situasi. Sudah tentu saya tidak mahu hanyut di sini," lenturnya memulakan mukadimah.
Reen Rahim atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Rahim tidak terkilan jika masih ramai yang belum mengenali diri dan kemampuan bakatnya. Realiti hidup dalam bidang yang dilimpahi populariti itu juga semakin dikenalinya penuh intim. Menjadi artis, ruang privasi kini terbuka untuk dihakimi mata umum.
"Biarpun saya masih belum sampai ke tahap digelar bintang popular, artis glamor atau apa sahaja istilah yang diberi, rasanya saya sudah faham permainan industri. Dari kaca mata luar, rasanya perkara itu pun sudah adat menjadi figura umum.
"Saya berlakon sebagai karier, dalam masa yang sama kami menyampaikan sesebuah karya itu kepada masyarakat. Saya pun sudah sedia maklum, jadi artis memang akan jadi perhatian masyarakat dan saya bersedia dengan situasi itu," katanya yang awal-awal lagi sudah dikecam gara-gara lakonan sebagai wanita bertudung tetapi bersentuhan dengan lelaki dalam drama Sahara.
Kemunculan Reen dalam karya islamik itu mendapat pelbagai reaksi sehingga mencetuskan kontroversi. Namun, satu impak yang ketara, namanya popular dan dikenali menerusi drama itu.
"Itu satu sisi lain yang berlaku tanpa dirancang. Saya dikecam dan dituduh macam-macam ketika baru bertatih sebagai pelakon. Kalaulah cara popular itu boleh dipilih, saya mahu populariti datang secara semula jadi, melalui lakonan saya, biar popular secara positif," katanya yang baru-baru ini muncul dalam drama Cinta Jannah dan Kampung Girl.
Mahu jadi bintang
Pelakon berwajah Bollywood itu mengakui dia sering berangan-angan setiap kali menonton filem Hindustan.
"Sejak kecil lagi saya memasang impian untuk jadi bintang, macam heroin Bollywood. Sekarang, apabila saya masuk menjadi seorang pelakon, baru saya sedar perjalanan saya masih terlalu jauh. Dahulu, ini hanyalah angan-angan kosong tetapi sekarang saya semakin membina keyakinan. Saya percaya, suatu hari nanti mimpi saya akan jadi nyata. Langkah saya baru sahaja bermula, saya redah sahaja," pelakon siri Aku di TV3 ini bertutur lancar.
Bergegas hendak ke lokasi Bohsia: Jalan Kembali versi drama bersiri, Reen sedikit resah memandangkan jadual fotografi kali ini tiba-tiba bertindih dengan panggilan penggambaran yang baru sahaja diselitkan dalam jadualnya.
"Perkara paling penting ialah disiplin. Saya faham dan saya harap tidak dimarahi pihak produksi atas hal yang tidak dapat dielakkan ini. Saya tak suka pihak lain menunggu saya, tetapi disebabkan sudah berjanji untuk sesi ini (fotografi), jadi saya kena tunaikan juga. Saya harap pihak produksi faham," katanya usai menerima panggilan agar segera berangkat ke lokasi.
Pengakuan jujur Reen untuk menjadi bintang masih berlingkar dalam diskusi. Ya, siapa yang tidak mahu jadi bintang, waima pelakon watak tambahan juga mahu bergelar bintang. Definisi bintang yang bagaimana sengaja saya pinta daripadanya.
"Saya mahu jadi bintang yang dirindui, yang sejuk dipandang, yang indah," katanya terhenti di situ.
Sambil memintal-mintal rambutnya, wanita kelahiran Klang, Selangor itu bercerita tentang satu episod sedih yang pernah terjadi atas dirinya. Dia pernah diangkat sebagai juara program lakonan, tetapi dalam waktu yang sama dia berasakan bakatnya tidak sehebat mana.
"Mungkin bagi orang lain perkara itu biasa sahaja, tapi secara dalaman saya merasakan sangat sedih. Saya takut dikritik menang kerana rupa sedangkan lakonan macam kayu. Banyak kali juga saya payah nak hayati watak, saya kecewa. Tetapi itu cerita dua tahun lepas, sekarang saya sudah okey sikit dan jadi manusia yang rasional," ujarnya yang menolak istilah hipokrasi dalam hidup.
Reen mahu jadi bintang, dia mahu jadi popular kerana dua istilah itu saling terkait dalam karier anak seni. Dua tahun perjalanan sudah dilalui, dalam diam dia mahu sengat kecilnya menikam mata khalayak.
sumber: http://www.okidumedia.com/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment