TUNKU HANIS sudah punya perancangan berkahwin pada tahun hadapan.
PERNAH tertarik hati sehingga menjalinkan hubungan dengan lelaki berstatus suami orang pada tahun lalu telah mengundang fobia buat pelakon Tunku Hanis Tunku Salman.
Bagaimanapun, ia bukanlah salahnya 100 peratus memandangkan dia sendiri langsung tidak mengetahui bahawa lelaki yang menjalinkan hubungan dengannya itu sudah beristeri.
“Sejujurnya saya agak terkejut apabila mendapat tahu lelaki berkenaan sudah berkahwin sehinggalah saya telah diserang oleh isterinya. Ia merupakan satu pengalaman yang sangat buruk dalam kehidupan saya.
“Ternyata perkara berkenaan telah membuatkan saya berasa fobia untuk menjalinkan hubungan istimewa dengan lelaki. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu bercinta dalam masa terdekat selepas dilanda kekecewaan dahulu,” ujar pelakon berusia 23 tahun itu.
Biarpun pernah mengambil keputusan untuk tidak bercinta, namun pelakon yang ditemui semasa penggambaran telemovie Cerita Sebenar Mengenai Bibah baru-baru ini mendedahkan hatinya kini sudah dimiliki seseorang.
Enggan mendedahkan identiti tentang jejaka yang bertakhta di hatinya itu, pelakon tersebut akhirnya memberitahu bahawa jejaka berkenaan merupakan anak saudara kepada suami penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Khalid Mohd. Jiwa atau lebih popular dengan panggilan Datuk K.
“Saya mengaku yang kekasih saya itu merupakan anak saudara kepada Datuk K, tetapi saya tidak boleh beritahu identitinya. Ketika ini hubungan yang terjalin antara kami sudah berlangsung selama setahun.
“Sepanjang perkenalan kami, saya melihat dia seorang lelaki yang sangat baik dan pandai mengambil hati. Cuma, dia kurang menggemari saya untuk berkecimpung dalam bidang seni,” jelasnya.
Apabila ditanya tentang sejauh mana serius hubungan yang terjalin itu, Tunku Hanis menjelaskan bahawa mereka sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga.
“Ketika ini keluarga kami tahu mengenai hubungan yang terjalin dan mereka amat merestuinya. Lagipun ahli keluarga kami sudah beberapa kali bertemu antara satu sama lain.
“Insya-Allah, kalau tiada sebarang halangan kami berdua sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga paling awal pada tahun hadapan,” jelasnya yang tidak kisah berkahwin dalam usia yang muda.
TUNKU HANIS mengakui berasa takut untuk kembali bercinta kerana pernah diserang isteri bekas kekasihnya.
Tolak tawaran
Sudah hampir lima tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, Tunku Hanis meluahkan kegembiraannya apabila rezekinya kini semakin banyak dengan tawaran yang tidak putus-putus.
Namun begitu, pelakon berkenaan menyatakan bahawa atas minatnya yang mendalam terhadap bidang yang diceburinya itu, dia telah menolak untuk menyambung pelajaran ke luar negara.
“Pada tahun lepas saya ada menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di United Kingdom.
“Bagaimanapun, ketika tawaran menyambung pelajaran itu diperolehi, dalam masa yang sama juga tawaran berlakon yang diterima pula agak banyak. Akhirnya saya telah tolak tawaran untuk sambung belajar,” ujarnya.
Berkenaan dengan penerimaan ahli keluarganya terhadap pembabitannya dalam bidang seni sekarang ini, Tunku Hanis memberitahu bahawa mereka begitu memahami kehendak dan minatnya itu.
“Pada mulanya ibu selalu memarahi saya kerana selalu balik lewat ke rumah selepas selesai menjalani penggambaran.
“Kemudian, pada satu hari, saya telah mengajak ibu ke lokasi untuk melihat saya bekerja dan barulah dia memahami cara kerja seorang pelakon.
“Sementara ayah saya pula cuma berpesan supaya saya perlu pandai menjaga diri dan tidak melakukan perkara yang boleh memalukan keluarga,” jelasnya.
sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
{ 1 comments... read them below or add one }
23 tahun..tgk badan n rupa paras mcm dkat2 30an
3 February 2014 at 11:08
Post a Comment