Setelah hampir empat tahun menyemai kasih, pasangan selebriti Zain Saidin, 29, dan Rozita Che Wan, 40, memilih untuk mendirikan rumahtangga pada 11 Disember hadapan. Perkahwinan pasangan popular ini bakal dinobatkan sebagai 'wedding of the year' memandangkan ia mendapat tajaan bernilai RM13 juta.
"Ini rezeki saya mendapat tajaan daripada mereka yang menaja. Saya bersyukur dan berterima kasih dengan penaja-penaja kerana perancangan perkahwinan ini dilakukan dalam masa yang singkat iaitu tiga bulan," ujar Rozita atau Che Ta ketika ditemui di sidang media pengumuman tarikh perkahwinannya di Setia City Convention Centre pada Isnin.
Pasangan ini juga turut berkongsi tentang mas kahwin dan wang hantaran yang bakal diterima oleh pengantin perempuan. Che Ta bakal menerima wang hantaran bernilai RM 23,200 yang mana angka tersebut dipilih sempena tarikh lahir Zain pada 23 Februari, manakala mas kahwin pula bernilai RM9,300 sempena tarikh lahir Che Ta pada 9 Mac.
Mengakui bahawa ini adalah perkahwinan yang diidamkan olehnya, Che Ta bakal menerima sebentuk cincin pemberian Zain, bernilai RM93,000 yang direka khas oleh Habib Jewels untuknya.
Pasangan ini memilih tema Tradisional untuk malam berinai, tema pastel untuk majlis akad nikah dan tema hitam putih untuk majlis persandingan yang bakal dihadiri oleh 500 orang tetamu.
Teruja bakal disatukan sebagai suami isteri, Zain memberitahu dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada dua orang anak Che Ta.
"Saya berharap agar perkahwinan kami dapat mengurangkan kontroversi yang sering melanda kami, namun kita tidak boleh menutup mulut orang," ujar Zain yang ditemani Che Ta.
Rozita Che Wan dan Zain Saidin akan bernikah pada 11 Disember hadapan bertempat di Gazebo Setia City Convention Centre, Shah Alam, selepas solat Maghrib. Majlis berinai akan diadakan di Ndah Mahligai, Shah Alam pada 10 Disember, jam 8.00 malam. Manakala, acara persandingan dijadualkan pada 13 Disember di Grand Ballroom, Setia City Convention Centre, Setia Alam.
sumber: http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment