Selepas aktor Zed Zaidi gagal dihubungi GUA untuk memberikan komen lanjut mengenai perlucutan jawatannya selaku Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), akhirnya dia tampil memberi penjelasan dalam sebuah sidang media khas yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang pada Sabtu.
Khamis lalu bersamaan 21 November, Mahkamah Tinggi telah memutuskan untuk membatalkan Mesyuarat Agung (AGM) kali ke-14 Seniman yang diadakan pada 25 Mei 2012. Pembatalan itu menyebabkan keseluruhan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Seniman terbubar secara automatik sebelum pelantikan semula AJK baru diadakan.
Zed menjelaskan yang dia dan seluruh AJK menerima serta menghormati keputusan yang diberikan pihak mahkamah.
"Saya akan mengikut undang-undang yang ada. Saya dan semua mantan AJK menerima apa sahaja keputusan yang dilakukan pihak mahkamah. Kami hormat keputusan mereka.
"Selepas ini, kami akan kemukakan rayuan mengikut prosedur yang ditetapkan. Saya akan terus menyokong Seniman. Jika diberi mandat lagi oleh ahli-ahli yang lain selepas ini untuk menerajui Seniman, saya akan teruskan," katanya.
Zed juga menjelaskan dia kini sedang menunggu Pertubuhan Pendaftar (ROS) untuk melakukan semula AGM Seniman yang bakal berlangsung dalam tempoh dua bulan.
"Saya akan menunggu ROS untuk melakukan AGM. Saya akan menunggu siapa yang bakal menerajui Seniman. Jikalau bukan saya, saya berharap pucuk pimpinan baru akan menyambung dan meneruskan usaha yang dilakukan oleh saya dan mantan AJK untuk ahli Seniman seperti Kad Diskaun, Badan Kutipan Royalti, Skim Insuran dan sebagainya," tutur Zed lagi.
Menjawab persoalan adakah dia rasa teraniaya atas segala masalah yang berlaku, Zed ada jawapannya yang tersendiri.
"Kalau anda ada masalah keluarga, jangan cerita kepada orang lain. Kalau anda ada keluarga, jangan burukkan keluarga anda di depan orang ramai," luah Zed mengakhiri perbualan.
sumber: http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment