Budak lelaki berusia enam tahun dibawa anggota polis selepas berjaya menyelamatkan diri daripada dilarikan seorang lelaki, di Balai Polis Wangsa Maju.
Kehilangan mangsa disedari ibunya kira-kira jam 7 petang, apabila anaknya tidak pulang selepas keluar bermain sejak tengah hari.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah, berkata ibu mangsa menghubungi suaminya yang sedang bekerja memaklumkan perkara itu dan mereka cuba mencari di sekitar kawasan rumah tetapi gagal.
“Ketika bapa mangsa sedang membuat laporan polis kehilangan anaknya di Balai Polis Travers, kami menerima laporan mangsa sudah ditemui di LRT Taman Melati.
“Mangsa dikatakan ditemui anggota polis bantuan di situ kira-kira jam 4 petang dan dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, kes dianggap selesai dan kanak-kanak itu sudah dituntut keluarganya, namun siasatan masih diteruskan bagi memastikan sama ada kehilangan kanak-kanak itu ada unsur jenayah atau sebaliknya.
Sementara itu, budak berkenaan mendakwa dia didatangi seorang lelaki memakai topeng bedah ketika sedang bermain dan mengajaknya menaiki LRT di Bangsar.
“Apabila sampai di satu stesen LRT (LRT Taman Melati) saya terus lari keluar dan minta tolong orang di situ.
“Polis kemudian bawa saya ke balai polis,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Wangsa Maju, semalam.
sumber: http://www.bharian.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment